Sumber gambar: google
Adalah menjadi impian setiap wanita untuk memiliki suami yang dapat
memahami perasaan dan diri mereka semasa mereka sedang sarat mengandung.
Ini adalah kerana pada waktu tersebut, keadaan emosi mereka tidak
begitu stabil dan memerlukan bantuan dan sokongan padu daripada orang
lain terutamanya daripada suami tercinta.
Mungkin masih ramai para suami yang berada di luar sana yang masih
lagi tidak berjaya untuk memahami situasi dan
keadaan isteri ketika mengandung. Sebagai suami yang soleh dan mithali
adalah wajar bagi anda untuk melakukan sembilan (9) perkara di bawah ini
ketika isteri anda sedang mengandungkan zuriat anda agar mereka
sentiasa ceria dan sihat sepanjang tempoh kandungan yang mencecah
sembilan (9) bulan itu.
1. Luangkan masa bersama isteri
Sebagai seorang
suami yang mempunyai pelbagai tanggungjawab samada di rumah mahupun di
pejabat, sudah tentu adakalanya anda berkemungkinan menjadi terlalu
sibuk dengan urusan-urusan yang perlu anda selesaikan.
Usah jadikan ini alasan untuk tidak meluangkan masa anda bersama
isteri tercinta. Anda perlulah berusaha sedaya upaya untuk meluangkan
masa anda bersama isteri. Wujudkan suasana 'relaks' antara kamu berdua
dan keraplah berkomunikasi antara satu sama lain.
Ini kerana pada waktu seperti ini, seorang isteri amat memerlukan
perhatian daripada anda. Dengan berada di samping isteri, ia pasti dapat
membantu mengurangkan tekanan yang sedang ditanggung oleh mereka.
2. Membantu menjaga pemakanan isteri
Seperti
yang sedia maklum, pada waktu-waktu seperti ini si isteri biasanya
akan mengalami simptom mengidam. Sebagai seorang suami, anda
sepatutnya bantu isteri anda dengan cara memenuhi kehendak mereka selagi
termampu (selagi makanan yang diidamkan halal, tidak mustahil
diperolehi dan sebagainya).
Selain daripada itu, si isteri yang sedang mengandung juga memerlukan
makanan yang berkhasiat agar tumbesaran bayi tidak terganggu. Si suami
wajar membelikan makanan-makanan berkhasiat seperti sayur-sayuran,
buah-buahan, yogurt, madu dan lain-lain agar anak di dalam kandungan
tersebut mendapat nutrien yang seimbang.
3. Memahami keadaan fizikal mereka
Suami
perlu sedar bahawa semasa isteri mereka mengandung, segala
pergerakan isteri akan menjadi lebih perlahan daripada biasa. Oleh itu,
apabila anda membawa isteri anda keluar untuk bersiar-siar, berjalanlah
dengan perlahan untuk menunjukkan bahawa anda memahami situasi isteri
anda. Adalah sangat tidak wajar jika anda memarahi mereka
hanya disebabkan pergerakan mereka yang lambat.
4. Bersikap ringan tulang
Semasa isteri anda sedang
sarat mengandung, tidak perlulah anda bertanya mengenai perkara-perkara
yang perlu anda bantu Apabila melihat kain yang bertimbun tidak
berbasuh, ringan-ringanlah tangan untuk membantu membasuh kain-kain
tersebut. Sama juga halnya dengan kerja-kerja rumah yang lain.
Ringankanlah beban isteri anda bukan menambahkan beban tersebut dengan
membiarkan cawan kopi anda yang tidak berbasuh, surat khabar yang anda
baca tidak terlipat dan lain-lain lagi.
5. Belajar psikologi
Isteri yang mengandung akan
mengalami perubahan yang besar baik dari segi emosi mahupun fizikal
mereka. Suami wajar mengetahui tanda-tanda perubahan ini. Dengan
mempelajari ilmu psikologi serba sedikit anda akan lebih bersedia
sekiranya isteri anda marah-marah dengan tiba-tiba, menjadi terlalu
sensitif, kuat merajuk dan sebagainya.
6. Membantu menyiapkan hidangan
Sekiranya sebelum
ini tugas-tugas memasak di dapur hanya dilakukan oleh si isteri
semata-mata maka apalah salahnya sekiranya selama sembilan bulan ini si
suami belajar untuk menyesuaikan diri berada di dapur. Sekiranya anda
tidak memasak sekalipun, anda masih boleh membantu isteri memotong
bahan-bahan masakan, menumis dan sebagainya. Ini juga secara tidak
langsung akan menjadikan pasangan suami isteri tersebut bertambah mesra
antara satu sama lain.
7. Membantu menjaga anak-anak yang lain
Ini adalah
peluang keemasan untuk anda sebagai suami dan ayah menghabiskan banyak
masa untuk anak mereka. Jangan sesekali melepaskan peluang ini. Ia
adalah cara terbaik untuk mengeratkan lagi hubungan anda dan anak.
8. Membawa isteri pergi ke mana-mana
Pada waktu
ini, sebaiknya jangan biarkan isteri anda memandu seorang diri.
Lebih-lebih lagi sekiranya usia kandungan telah mencecah enam bulan dan
ke atas. Sebaiknya anda korbankan masa dan tenaga untuk menjadi pemandu
kepada isteri anda dan bawalah mereka pergi membeli barang dapur, baju
bayi dan sebagainya.
9. Menabung dari awal
Perkara yang ini anda perlu
bersedia dari awal lagi. Kukuhkan kedudukan kewangan anda agar tidak ada
masalah yang timbul di kemudian hari. Maklumlah harga-harga barangan,
ubat-ubatan dan perkhidmatan kesihatan sekarang sudah semakin mahal.
Setiap kali harga petrol naik dah sah-sah harga-harga barang lain pun
akan turut naik bukan? Oleh itu, bagi yang baru mendirikan rumah tangga
dan yang masih belum berkahwin tu, elok-eloklah menabung seringgit
sehari mulai sekarang. Kalau lebih, itu jauh lebih baik.
Sumber gambar: google
p/s: Kepada suami-suami diluar sana....fahamilah isteri anda yang sedang mengandungkan anak anda, kerana jauh atau dekat jarak anda.......isteri anda sentiasa memerlukan anda tidak kira walaupun hanya seminit anda bertanyakan khabarnya....samaada isteri anda sihat atau pun tidak, sudah makan ataupun belum, macam mane anak kita...byk gerak-gerak tak hari ni...dll......Walaupun hanya seminit....isteri anda akan menghargai waktu itu....kerana isteri anda memerlukan anda ketika ini......